Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

Janji 'kencing manis' pembangkang boleh bankrap negara

Pakatan Harapan (HARAPAN) menjanjikan pendidikan percuma, pemansuhan tol dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta perkara lain yang dikatakan memberi manfaat kepada rakyat jika menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyifatkan janji-janji berkenaan sebagai janji manis yang jika dilaksanakan akan memberikan kesan buruk kepada negara.

"Kalau janji manis sangat sampai boleh dapat kencing manis, ada dua sahaja kemungkinan.

"Pertama, kita terpaksa naikkan segala jenis cukai seperti mana negara Scandinavia yang rakyatnya membayar cukai pendapatan lebih 50 peratus dan kadar GSTnya lebih 20 peratus.

"Kedua, negara kita bankrap sebab hutang tak terbayar," kata Khairy pada Perhimpunan Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau juga mempersendakan janji-janji lain yang dibuat HARAPAN seperti pengumuman kerajaan Selangor untuk memberikan bonus tiga bulan kepada penjawat awam dalam Bajet 2018.

Bagaimanapun, dua pertiga daripada bonus itu sebenarnya telahpun dibayar sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Khairy berkata ini menunjukkan HARAPAN hanya memberikan harapan palsu untuk memenangi undi.

Sementara itu, Khairy mempersoalkan apakah benar HARAPAN mampu menjimatkan RM20 bilion dengan memerangi rasuah.

Beliau antara lain memetik kes pembelian rumah banglo melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, pemiikan rumah 'Disneyland' melibatkan Ketua Pemuda PKR Ampang dan penjualan pasir di Selangor sebagai contoh.

"Bukankah itu semua ketirisan? Macam mana mereka nak jimat RM20 bilion setahun kalau di peringkat kerajaan negeri pun tiris tak sudah-sudah?"soalnya. -Malaysiakini 

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.