Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

Ilham tujuh dari Zahid untuk Umno

Angka tujuh menjadi pilihan pemangku Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Kuala Lumpur malam ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata angka tujuh sering diulang-ulang dalam al-Quran.

"Contohnya, Allah SWT menciptakan tujuh petala langit, tujuh petala bumi dan disempurnakan pada hari ketujuh. Ada tujuh lautan dan ada tujuh benua.

"Penciptaan manusia juga mempunyai tujuh fasa. Pensyariatan tujuh pusingan tawaf dan tujuh kali ulang-alik bagi saie dalam ibadah haji dan umrah.

“Melontar jamrah juga dengan tujuh biji batu, takbir pertama solat sunat hari raya juga sebanyak tujuh kali dan dengan ketentuan Allah SWT, tujuh orang presiden telah memimpin Umno sejak tujuh dekad yang lalu,” katanya semasa menyampaikan ucapan merasmikan tiga sayap Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.

Justeru, kata Ahmad Zahid pastinya Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden ketujuh Umno juga berdepan dengan cabaran besar.

“Cabarannya amat berbeza dengan presiden terdahulu tambahan pula ketika ini adanya ancaman media sosial.

“Pada zamannya juga tercetus suatu revolusi ekonomi dan industri yang dipacu oleh ledakan teknologi digital," katanya.

Dalam ucapan itu juga Ahmad Zahid menbentangkan tujuh "manifesto bangsa" yang akan menjadi satu gagasan besar.

Katanya ia juga bekalan pemikiran dan asas tindakan Umno menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

“Saya tidak mahu lagi berbicara tentang tujuh cabaran politik yang diutarakan dalam persidangan tahun lalu.

“Malam ini, saya akan bentangkan tujuh manifesto bangsa yang akan menjadi satu gagasan besar. Ia juga bekalan pemikiran dan asas tindakan kita dalam menghadapi PRU ke-14.

“Inilah Inilah manifesto sebelum manifesto. Inilah manifestasi aku janji kita kepada rakyat. Saya percaya tujuh manifesto ini yang merangkumi tujuh lembayung arjana (kejayaan) bangsa akan menjadi pegangan kita buat selama-lamanya,” kata Ahmad Zahid.

Tujuh gagasan yang disenaraikan Ahmad Zahid itu ialah

Lembayung kesejagatan politik
Lembayung ekonomi maqasid syariah
Lembayung pengangkasaan pendidikan
Lembayung keselamatan negara
Lembayung antarabangsa
Lembayung raja-raja Melayu
Agama lembayung peradaban.

Dalam ucapan Ahmad Zahid yang banyak diselang-selikan dengan ungkapan Arab itu, beliau juga mengungkapkan kalimah "tujuh" sebanyak 17 kali. -Malaysiakini 

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.