Dikemaskini 7:48 AM, 24 Apr, 2018
A+ A A-

Usul putus tahaluf siyasi dengan PKR diterima sebulat suara

Bagaimanapun, Zulkifli bersetuju mandat membuat penilaian terhadap tahaluf siyasi itu harus diputuskan Majlis Syura Ulamak. Bagaimanapun, Zulkifli bersetuju mandat membuat penilaian terhadap tahaluf siyasi itu harus diputuskan Majlis Syura Ulamak.

Perwakilan di Muktamar Tahunan PAS ke-63 di Kota Sarang Semut, Kedah semalam sebulat suara menyokong usul memutuskan hubungan politik dengan PKR selepas usul itu dibentangkan wakil Dewan Ulamak PAS Pusat, Zulkifli Ismail.

Sebaik sahaja selesai perbahasan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari Pengerusi Tetap Muktamar, Hussin Ismail bertanya kepada perwakilan dan kesemuanya bangun menyatakan sokongan dengan melaungkan, ‘setuju’ beramai-ramai.

Terdahulu, pada pembentangan usul, Zulkifli merujuk kepada perlembagaan PAS, Fasal 5 (Tujuan PAS), Fasal 6 (Usaha-Usaha) dan Fasal 7 (Hukum dan Kekuasaan) sebagai hujah agar parti Islam itu memutuskan hubungan politik dengan PKR.

“Majlis Syura Ulamak menetapkan syarat Tahaluf Siyasi, antaranya tahaluf mestilah dijalankan sebagai wasilah menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk pelaksanaan Islam,” katanya.

Menurutnya, dasar-dasar Islam hendaklah dipertahankan, Intima’ diberikan kepada kepimpinan gerakan Islam dan bukan kepada pakatan tahaluf.

“Tahaluf hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah, di mana matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan tahaluf secara mutlak,” katanya.

Bagaimanapun, Zulkifli bersetuju mandat membuat penilaian terhadap tahaluf siyasi itu harus diputuskan Majlis Syura Ulamak.

“Keputusan muktamad tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulamak menurut peruntukan perlembagaan PAS. Apa sahaja keputusan akan dipatuhi,” katanya.

Menurutnya, terdapat banyak pelanggaran syarat sepanjang tempoh berlangsungnya tahaluf siyasi antara PAS dan PKR, yang boleh dibuktikan melalui beberapa kejadian, antaranya penglibatan PKR menyokong calon Parti Amanah Negara menentang PAS pada PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

“Kegagalan PKR memberi sokongan kepada usaha PAS memperkasakan mahkamah syariah melalui pindaan akta 355, seolah-olah bersama dengan pendirian DAP yang menentang pindaan akta itu.

“Kenyataan pimpinan PKR secara terbuka memperlihatkan keceluparan dan kebiadapan mereka terhadap PAS sekaligus tidak menunjukkan setiakawan.

Sehubungan itu, kami usulkan tahaluf siyasi antara PAS dan PKR diputuskan,” katanya, disusuli sorakan gemuruh perwakilan.

“Islam mengajar kita patuhi perjanjian dan tidak boleh dilanggar sewenangnya. Hendaklah pihak terbabit hormati isi perjanjian, tidak khianati dan tidak bantu musuh Islam. Kita tegas terhadap tahaluf jika ada rakan yang tak patuhi syarat,” katanya.

Menurutnya, PAS perlu tegas berdepan dengan rakan tahaluf yang cuba mewujudkan gelombang sekular sosialis yang berbahaya kerana ia merupakan aspek ekstremis.

Usul itu dibawa bersama PAS kawasan Bandar Tun Razak, Beruas, Labis, Lumut, Bera, Serdang, Pandan, Batu, Shah Alam, Bayan Baru, Titiwangsa, Kuantan, Paya Besar, Padang Terap, Kuala Terengganu, Kuala Kangsar, Marang, Bukit Mertajam, Kuala Nerus, Dungun, Kuala Langat dan Dewan Ulamak PAS Pusat.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.